Malaysiaku Gemilang


Erti kemerdekaan adalah luas, merangkumi semua aspek kehidupan. Kehidupan merdeka ialah apabila kita hidup berpandukan peraturan yang di ikuti dengan rela. Kerelaan terhasil dari jiwa merdeka. Kerelaan adalah faktor utama yang menyumbang kepada kepatuhan kita terhadap sesuatu peraturan.

Kerelaan juga boleh terhasil daripada perasaan cinta dan sayang yang seterusnya akan membangkitkan semangat untuk berjuang dan berkorban.





Sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-50 yang lepas aku dan rakan-rakan sepejabat merasakan ada suatu tanggungjawab yang perlu ditunaikan serta tersemat perasaan cinta terhadap negara lantas kami melahirkannya melalui Mural.

Mural ini adalah cetusan idea daripada rakan-rakan bekas Guru Seni. Aku menggembleng tenaga bersama rakan-rakan seni untuk membina Mural sepanjang 4 meter yang diperbuatkan daripada 'Foam Board'.

Rakan-rakan seni yang mengetuai projek ini mendapat bantuan teman-teman dari pelbagai bidang pengkhususan. Ia memberi pengalaman baru kepada teman-teman yang sebelum ini tidak pernah memegang berus dan melukis. Dengan kerjasama yang jitu, mural ini dapat disiapkan dalam masa 2 minggu.


Terdapat juga rakan-rakan yang mengumpulkan rencana berkenaan dengan sejarah kemerdekaan negara dan dipamerkan dengan menggunakan pelbagai warna-warna bendera.

Di sinilah kenangan indah terukir yang tak dapat kulupakan. Senyuman manis di bibir insan seni membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Aku amat mengagumi insan-insan yang berjiwa seni dan sentiasa berkhidmat untuk anak bangsa. Bagiku insan-insan seni sungguh istimewa bak mutiara yang tinggi nilainya.




TEMA :

Pembangunan di Malaysia digarap dengan susulan motif bangunan, mercu tanda lambang kejayaan Malaysia. Berlatar belakang bendera Malaysia dan 3 watak kanak-kanak melambangkan perpaduan kaum. Kanak-kanak merupakan pelapis generasi masa depan. Motif bunga raya adalah lambang bunga kebangsaan.


Rakan-rakan yang menjayakan projek ini ialah En. Nori Sham, En. Abdul Rahman, En. Wahab, En. Ahamad, En. Zaid, Tn. Hj. Azmi, Pn. Norliza, Pn. Rohaya, Pn. Sholeha, Pn. Roslina dan Pn. Norbayani.


'Kenangan bersama kalian sungguh indah dan sukar kulupakan......Terima kasih wahai teman-temanku'.

No comments: